Thursday, January 3, 2013

Menyuluh Diri...

Assalamualaikum..

Salam Ziarah,

Setiap hari yang kita lalui..setiap hari yang kita hadapi..seringkali kita mendengar keluh kesah, seringkali kita mendengar rintihan sahabat, sanak saudara, keluarga yang menimpa musibah...suatu hari nanti kita juga akan melaluinya. Setiap hari kita akan melihat keburukan dan kelemahan orang lain, kita akan melihat kesilapan orang lain dalam melakukan sesuatu dan juga setiap hari kita juga akan melalui kesulitan dan kepayahan dalam melaksanakan sesuatu amanah Allah SWT.

TETAPI...pernahkan kita memikirkan segala kesulitan, kelemahan, kepayahan, musibah yang menimpa adalah kerana apa ? Seringkali kita mendengar jika ada sesuatu musibah yang menimpa, kesulitan yang menimpa, kelamahan yang orang lain ada, kesilapan yang orang lain lakukan, kesilapan yang kita lakukan...seringkali akan dituding kepada orang lain. Semuanya salah si polan, salah orang lain...TETAPI tidak pernah sekali kita MENYULUH dalam DIRI, semua yang berlaku ini mempunyai asbab musababnya. Semua yang berlaku baik atau buruk segalanya untuk mengajar DIRI supaya tidak melakukan sedemikian. Jika tidak berlaku kejadian itu, tidaklah kita tersedar daripada kesenangan yang berpanjangan. Jika berlaku musibah, lihat balik apa yang pernah kita lakukan sebelum ini, sehinggakan diberi ujian semacam itu. Tidak Allah jadikan sesuatu dengan sia-sia. Mesti ada hikmahnya. Kita merasakan sesuatu itu baik untuk kita, sedangkan Allah TAHU sesuatu itu tidak baik untuk kita pada ketika itu. Kita merasakan sesuatu itu tidak baik untuk kita, sedangkan Allah TAHU sesuatu itu baik untuk kita pada ketika itu. Ajarlah DIRI untuk MENYULUH DIRI.

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman, “ sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang2 yang dusta.". (Surah al-Ankabut : 2-3)

Jika seseorang itu benar-benar beriman, dia tidak akan pernah mengaku dirinya beriman. Jika seseorang itu benar-benar bertakwa, tidak pernah sesekali dia mengatakan yang dia bertakwa, ahli syurga, banyak pahala. Siapa kita untuk menilai diri kita, siapa kita untuk meletakkan kita di kalangan yang arif, kita tidak lain hanya HAMBA yang menurut segala perintah Nya kerana kita ini HAMBA...menerima segala kesulitan, ujian yang berlaku atas kesilapan diri kita jua, berlaku untuk memberi peringatan kepada kita bahawa kita perlu menjadi lebih baik daripada itu, peringatan bahawa kita masih lagi mempunyai masa untuk memilih jalan ke hadratNya. Semuanya yang berlaku kerana Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah Taala kepada kita. Kerana kasih dan sayangnya Allah Taala kepada hambanya. Jika kita mengharapkan teguran daripada orang di sekeliling kita, orang kesayangan kita, belum tentu akan berkekalan. Tetapi kasih dan sayang Allah pada kita tidak pernah terputus, setiap hari masih lagi diberikan udara untuk kita bernafas, masih diberikan makanan untuk kita makan.

Kadangkala teguran atau peringatan daripada Allah SWT itu datang daripada bermacam keadaan. Daripada kejadian-kejadian, daripada teguran keluarga, teguran sahabat, ceramah-ceramah dan lain-lain. Tetapi seringkali kita tidak mengambil kisah tentang teguran ini. Jika ada ahli keluarga, sahabat yang menegur, akan dikatakan " kau pun lebih kurang sama jer, nak tegur orang plak.." ataupun "Ala, dia tu tunjuk bagus jer, ilmu agama pun tak sebanyak mana" . Betapa pentingnya kita untuk MENYULUH dalam diri kerana, teguran atau kata-kata nasihat yang diberikan itu bukanlah daripada si polan, TETAPI daripada ALLAH S.W.T. Jangan kita lihat perangai si pemberi nasihat, tetapi, lihatlah pada kata-kata yang diucapkan..kerana sesungguhnya segala KALAM yang baik, yang terkeluar daripada hamba Allah itu merupakan KALAM daripada Allah lah jua.

Siapa kita untuk menghukum orang lain di atas kesilapan yang dilakukan, siapa kita..? Kita ini ibarat debu yang berterbangan. Bila-bila masa boleh dilenyapkan oleh Robbul Alamin. Masih ada masakah kita untuk mencari kesilapan orang lain sedangkan DIRI kita masih terumbang ambing, sedangkan kita nanti akan ke Alam Kubur jua, sedangkan kita nanti akan meninggalkan segala yang ada di dunia ini. Allahu Robbi...selagi masih bernafas, ini sajalah masa yang ada untuk menuju ke hadratNya. Masih adakah masa untuk mengejar kekayaan, masih ada masakah lagi untuk mengejar MASTER, PHD...mengejar kebanggaan orang sekeliling (riak dan takabur), sedangkan sekarang tanda-tanda hari akhirat sudah menghampiri. Kehidupan dunia atau kehidupan yang ABADI yang kita idamkan ?

Itulah kepentingan dalam hidup kita apabila kita senantiasa berada di dalam jalan yang diredhai Allah S.W.T. Kita akan senantiasa berfikiran positif, setiap kejadian yang berlaku adalah kerana peringatan Allah S.W.T terhadap hambaNya yang seringkali terleka, seringkali terlupa. Sesungguhnya, zikir yang terbaik untuk hamba Allah seperti kita ini tidak lain tidak bukan adalah 'Astagfirullah al azim....'. Kerana sesungguhnya manusia tidak terlepas daripada nafsu. Setiap manusia berbeza-beza nafsunya. Istigfarlah apabila nafsu menguasai diri, sesunguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Wallahualam.
Nukilan : Yang Bernama Hamba