Friday, December 7, 2012

Ilmu...

Assalamualaikum, salam ziarah...

Bila bercerita tentang ilmu, ramai daripada kita akan berkata 'sambung belajar lah selagi boleh...untuk masa depan yang cerah, untuk kerjaya yang lebih baik, dan ...'. Tapi pernah terfikir tak ilmu yang mana satu yang wajib dituntut, yang harus dan tidak harus dan sebagainya. Seperti yang telah dinyatakan oleh hadis-hadis Rasulullah S.A.W....

"Barang siapa berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. "
(HR. Muslim).

"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sampai dia kembali. "
(Shahih Tirmidzi)


Ilmu yang bagaimana yang betul-betul menempatkan kita di sisi Allah...?

Itulah ilmu Allah S.W.T. Ilmu Allah amatlah luas...jika dibandingkan ilmu yang manusia miliki, seumpama setitis ilmu kita, seluas lautan ilmu yang Allah miliki..malah lebih daripada itu...tak terjangkau dek fikiran kita. Segala-gala yang ada di langit dan di bumi, di seluruh alam semesta..segala-galanya adalah Hak Milik Allah Taala. Segala-galanya adalah ilmu Allah S.W.T. Segala teknologi-teknologi yang canggih sekarang baik dari senjata, telekomunikasi, kenderaan dan sebagainya, percaya tak bahawa itu adalah ilmu Allah jua. Hebat macam-mana pun seseorang itu, maka berganda-ganda hebat lagi Allah Taala. Jadi, apa sangatlah kita ni yang hendak dibangga-banggakan.

Siapa yang MENGAKU bahawa dirinya bijaksana, genius dan sebagainya dek kerana USAHANYA bersusah-payah mendapatkan ijazah, sarjana, PHD dan sebagainya...maka dirinya bohong belaka ataupun dirinya telah dibohongi oleh Syaitan laknatullah. Ini adalah kerana, kebijaksaan dan kecerdikan yang dimiliki bukan miliknya tetapi milik Allah S.W.T. Segala-galanya yang diberikan Allah kepada dia hanyalah kerana dengan izinNya, jika ditarik balik izinNya, maka bila-bila masa boleh ditarik balik. Jadilah ia seorang yang huru-hara hidupnya, hilang ingatan, nyanyuk dan sebagainya dek kerana tidak pernah mensyukuri ilmu yang dipinjamkan oleh Allah. Dek kerana ilmu yang dipinjamkan itu tidaklah dia lebih merasakan tawaduk, tidak menjadikan dia lebih merendah diri, tidak menjadikan dia lebih malu dengan Allah untuk meminta-minta, tidak menjadikan dia lebih takut dengan seksaan Allah, dan tidak merasakan dirinya kerdil di sisi Allah. Nauzubillah...

Oleh itu, ilmu bagaimana yang dapat menempatkan diri kita mulia di sisi Allah S.W.T. Itulah ilmu mengenal Allah S.W.T. Ramai yang berkata ilmu itu amat mendalam, belum sampai masa lagi untuk belajar, jauh sangat ilmu tu. Tetapi lupakah kita terhadap Hadis Qudsi :

"Awaluddin Ma’rifatullah” (Ertinya “Awal-awal agama Mengenal Allah“)

Bukankah sudah jelas lagi nyata bahawa awal-awal ilmu yang wajib kita dahului ialah ilmu Mengenal Allah. Tetapi bukan dengan cara mengenal bagaimana rupa Allah, Allah ada itu, Allah ada ini...siapa kita untuk membayang-bayangkan rupa Allah yang Maha Suci. Siapa kita...kita hanyalah Hamba...Hamba yang belum tentu dapat melepasi titian sirat pun...Hamba yang sangat-sangat sedikit ilmuNya. Sedangkan Nabi Musa yang ingin melihat Allah sekalipun tidak mampu menanggungnya, tidak dapat membayangkan kecantikan, keindahan Allah S.W.T., inikan kita yang orang awam ini mengatakan Allah ada itu, Allah ada ini. Nauzubillah...

Jadi, macam-mana nak mengenal Allah. Oleh itu, berdasarkan Hadis Qudsi yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. :

"Barangsiapa yang mengenal diri, maka dia akan kenal Allah Taala. Barangsiapa yang mengenal Allah, maka binasalah diri dan seluruh yang ada di muka bumi ini"

Binasalah diri bermakna, apabila kita telah betul-betul mengenal diri, dari segi asal usul kejadian diri, unsur-unsur yang ada dalam diri, mana yang hidup, mana yang mati, untuk apa dihidupkan di dunia ni, maka diri kita telah menuju Ma'rifatullah. Diri ini hanya mempunyai satu kebergantungan iaitu Allah Taala. Bekerja hanyalah semata-mata kerana amanah Allah, diri tidak bergantung kepada duit dan kekayaan kerana keyakinan yang dimiliki bahawa makan minum pakai segalanya daripada Allah. Diri yang sebenar-benar diri telah menemui cinta yang agung iaitu Cinta Allah S.W.T.

Diri tidak lagi sombong dengan orang sekelilingnya, diri tidak lagi angkuh dengan kekayaan, diri tidak lagi merasa bangga dengan kejayaannya, bangga dengan apa yang dimiliki, diri tidak lagi bersungut dengan kesusahan dan kepayahan yang dihadapi. Maka dengan itu, mudahlah diri untuk menuntut ilmu, diri lebih memahami kalimah syahadah yang dilafazkan, diri lebih mendapat khusyuk dalam solat, diri lebih tawaduk dalam berpuasa, diri lebih ikhlas dalam mengeluarkan zakat dan seterusnya diri telah mendapat darjat ilmu yang tinggi sehinggakan dapat menunaikan haji yang mabrur.

Renunglah, diri ini juga peringatkan kepada diriku sendiri. Musuh-musuh Islam bukan sahaja menggunakan senjata yang hebat untuk membunuh umat Islam, tetapi musuh-musuh Islam menggunakan ilmu sebagai cara untuk mematikan hati umat-umat Islam, sebagai cara untuk memesongkan ilmu umat-umat Islam. Bersolat, tetapi tidak tahu solat itu untuk apa sebenarnya, tidak kenal dengan Robb yang berada 'dihadapannya' tatkala solat. Berdoa, tetapi tidak ada adab dalam berdoa kepada Robb nya, malah masih tidak kenal Robb nya. Membaca Al-Quran, tetapi tidak mengerti secara mendalam apa sebenarnya Al-Quran, rahsia-rahsia yang terkandung di dalam Al-Quran. Menutup aurat, tetapi tidak mengerti yang mana aurat yang mana tidak. Berlebih-lebihan dalam perbuatan-perbuatan seharian. Inilah yang diingini oleh musuh-musuh Islam. Tidak hairanlah apabila tiba masa nanti, umat-umat Islam amat mudah ditumbangkan oleh musuh-musuh Islam.

Tanyalah dalam diri...adakah kita sebenarnya sudah betul-betul ISLAM...apa itu ISLAM...cukupkah dengan melaksanakan 5 rukun Islam tetapi tidak benar-benar menghayati dan mengerti apa sebenarnya ISLAM...renungkanlah...

Carilah ilmu yang sebenar-benar ilmu..carilah ilmu Allah di sekian pelosok alam. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kekasihnya, dengan orang yang berilmu.

Renungkanlah...Wallahualam...

Nukilan : Yang Bernama Hamba...